Apakah yang Dimaksudkan dengan Pergantungan Kepada Dadah
Pergantungan kepada dadah adalah keadaan keperluan secara fizikal atau psikologi atau kedua-duanya yang wujud daripada penggunaan dadah secara berterusan atau pada waktu-waktu tertentu. Dua jenis pergantungan kepada dadah apabila ianya digunakan secara kerap dan berterusan ialah:
1. Pergantungan secara fizikal
Pergantungan secara fizikal ialah satu keadaan di mana badan penagih memerlukan dadah dihentikan akan menimbulkan gejala-gejala tarikan. Gejala-gejala tarikan ialah tanda-tanda tertentu dari segi tingkahlaku dan fizikal seseorang penagih dadah yang ditunjukkan semasa tidak menggunakan dadah dalam masa tertentu. Antara tanda-tanda pergantungan fizikal ialah sakit perut, muntah-muntah, cirit-birit, menggeletar dan sebagainya.
2. Pergantungan secara psikologikal
Pergantungan secara psikik atau psikologikal merupakan satu keadaan di mana penagih mengalami gian atau mengidam untuk menggunakan dadah supaya dapat berfungsi secara normal serta mencapai ketenangan jiwa.
Daya tahan (keupayaan sel-sel tubuh badan menentang kesan-kesan dadah)
Daya tahan atau “tolerance” kepada dadah dikatakan meningkat apabila dos dadah yang biasanya diambil, tidak dapat memberi kepuasan atau memberi kelegaan dalam mengatasi gejala tarikan. Dos dadah terpaksa ditambah untuk mencapai tahap kepuasan dan kelegaan yang sama. Apabila pergantungan ini telah terbina, badan bertindak dengan tanda-tanda yang boleh diteka sekiranya dadah itu diberhentikan bekalannya dengan serta-merta.
Seseorang itu dikatakan telah bergantung pada dadah apabila :
Penggunaan dadah menjadi bahagian penting dalam kehidupan seharian mengatasi keperluan-keperluan hidup yang lain seperti makanan dan minuman.
Daya tahan meningkat.
Mengalami gejala tarikan apabila tidak menggunakan dadah
Berada terdesak atau gian untuk menggunakan dadah lebih-lebih lagi apabila cuba mengurang atau dapat mengawal jumlah dan kekerapan penggunaan.
Terdapat tarikan atau kecenderungan menagih semula setelah berhenti menggunakan untuk beberapa waktu.
Ulasan
Catat Ulasan